MENGELUH LAGI???

10/27/2009 01:22:00 AM 0 Comments »
maaf kepada semua kerana bulan ini banyak men'copy' dan men'paste' artikel sahaja.. sedikit sibuk sekarang ni.. :)

sumber

Kita selalu bertanya dan Quran sudah menjawabnya:

Kita bertanya :
Kenapa aku diuji ?
Quran menjawab:
“Apakah manusia itu dibiarkan saja mengatakan , “Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji ? dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta ." (Surah al- Ankabut, ayat 2-3)


Kita bertanya :
Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan ?
Quran menjawab,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatau, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Kita bertanya : Kenapa ujian seberat ini ?
Quran menjawab,
Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 286)


Kita bertanya : Kenapa mesti frust ?
Quran menjawab,
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah al-Imran, ayat 139)


Kita bertanya : Bagaimana harus aku menghadapinya ?
Quran menjawab,
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah ayat 45)


Kita bertanya : Kepada siapa aku berharap?
Quran menjawab.
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadaNya.Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” (Surah at-Taubah, ayat 129)


Kita bertanya: Apa yang aku dapat dari semua ujian ini?
Quran menjawab,
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah at-Taubah, ayat 111)


Kita berkata : Aku tak tahan!!!
Quran menjawab,
“. .dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf, ayat 87)


Kita berkata: Sampai bila aku merana begini ?
Quran menjawab,
Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)


Sudah.. Jangan mengeluh.. Jom baca Quran..

.:: permata hati ayahanda bonda ::.

Kenapa Cepat Melatah?

10/25/2009 06:49:00 AM 0 Comments »
sumber

Beberapa minggu yang lalu saya dikunjungi seorang tetamu dari luar Madinah. Kedatangannya ialah untuk menziarahi Madinah dan mengambil kesempatan bersolat di Masjid Nabawi. Dalam tempoh kunjungannya, dia menumpang tinggal di rumah saya. Pada waktu-waktu solat, saya membawanya ke Masjid Nabawi. Pada hari terakhir, ketika saya memandu kereta membawanya ke Masjid Nabawi, saya melalui satu lorong short cut. Secara sepontan, kawan saya berkata, “Akhi.. kita nak pergi mana ni? Ini bukannya jalan ke masjid pun. Kan biasa kita ikut jalan lain?!!”.

Kenapa dia menyoal demikian? Kerana dia bukan penduduk Madinah. Dia tidak kenal selok belok jalan di sini. Yang dia tahu hanya satu jalan besar yang ada papan tanda tertulis ‘Ke Masjid Nabawi’. Apabila melihat ada orang melalui jalan lain, dia sangka itu silap. Berbeza dengan rakan-rakan yang bertahun-tahun tinggal di Madinah. Lorong mana pun saya lalui, mereka tak soal. Kenapa? Kerana mereka tahu banyak jalan yang boleh dilalui untuk ke Masjid Nabawi.

Apa yang dapat difahami melalui analogi tadi? Kita dapat buat satu kesimpulan iaitu: orang yang kurang tahu, banyak ingkarnya, dan orang yang banyak tahu, sedikit ingkarnya. Di dalam ilmu syariat, seseorang yang makin tinggi keilmuannya, kita akan dapati dia tidak banyak ingkar perbuatan orang lain. Dia tidak cepat melatah melihat orang lain melakukan suatu yang tidak sama dengan perbuatannya. Sebab dia tahu banyak pendapat dalam suatu masalah. Dia tahu setiap pendapat itu ada dalilnya.

Berbeza dengan penuntut ilmu yang merasa dirinya sudah alim padahal ilmunya baru cukup makan. Dia rasa apa yang dia belajar sahaja yang betul. Orang yang amalannya tidak sama dengan pendapatnya dikatakan salah. Dia sahaja ikut sunnah, orang lain tidak ikut sunnah. Amalan orang lain yang tidak sama dengannya cepat-cepat diingkari. Hakikatnya, orang seperti ini masih kurang ilmunya. Dia perlu belajar lagi. Dia kena menadah dengan guru yang lebih ramai.

Diceritakan oleh seorang ulama, ada seorang pemuda yang menuntut ilmu di Madinah. Suatu hari, dia bersembahyang di sebelah seorang tua berketurunan Syanqiti. Ketika sembahyang, orang tua ini bergerak beberapa kali. Mungkin ada uzurnya dia bergerak-gerak sebegitu. Selepas selesai sembahyang, pemuda ini terus berkata kepada orang tua itu: “Kenapa Pak Cik begerak banyak kali dalam solat? Ini bidaah!!”.

Mendengar herdikan orang muda itu, pak cik itu pun memulakan bicaranya. Dia mulakan dengan menyebut pendapat Imam Malik tentang hukum bergerak dalam solat. Kemudian, dia menyebut pendapat imam-imam salaf yang lain. Satu persatu dia memperincikan hukumnya di hadapan pemuda itu. Nukilan-nukilan kata-kata ulama keluar dari mulutnya ibarat air. Lancar dan penuh yakin. Akhirnya pemuda itu sendiri yang merasa malu. Malu kerana cepat melatah melihat perbuatan orang lain.

Inilah perbezaan sikap orang alim dan orang yang kurang alim. Orang yang makin banyak ilmunya, sikapnya tenang. Dia tahu banyak sudut, banyak pendapat, banyak dalil, banyak ihtimal (kebarangkalian) dan macam-macam. Sebab itu dia tidak cepat melatah dan ingkar orang lain. Berbeza halnya dengan orang yang kurang ilmunya. Dia tidak tahu banyak sudut. Sebab itu dia merasa dia sahaja yang betul.

Kesimpulannya, ambillah kaedah ini: Semakin banyak ilmu seseorang, semakin kurang latah dan ingkarnya. Semoga kita tidak tergolong dalam orang yang cepat melatah.

Sekian.

Madinah Nabawiyyah, KSA. 25 Mei 2008 M, 10 Jumada Awwal 1429 H.

.:: permata hati ayahanda bonda ::.