Popularkan Syariah!!!

9/04/2009 05:17:00 AM 0 Comments »

Akhir-akhir ini, isu pelaksanaan syariah menjadi agak panas. Ketika masih segar cadangan pelaksanaan hukum 10 kali sebatan oleh seorang hakim terhadap seorang pesalah remaja, timbul pula isu seorang tokoh politik yang seolah-olah menyamakan pendukung syariah dengan pelampau. Yang mutakhir kontroversi mengenai hukuman sebat ke atas seorang wanita yang meminum arak.

Menjadi kewajiban bagi pendukung gerakan Islam untuk menjelaskan dan menjawab tohmahan-tohmahan yang tidak tepat, tidak betul dan menyeleweng terhadap isu-isu syariah.

Isu mendaulatkan syariah di Malaysia pasti akan mengundang tentangan daripada kalangan liberalis-rasionalis seluruh dunia (kerana dunia dikuasai dan diterajui secara unipolar oleh fahaman liberalis-kapitalis-rasionalis) termasuk dalam kalangan umat Islam. Pejuang Islam perlu terus giat mempopularkan syariah secara umum dan khusus bagi menjawab kebencian dan kecelaruan fahaman yang berkaitan pelaksanaan undang-undang Islam.

Sistem kewangan Islam yang merupakan satu aspek daripada ekonomi Islam amat mesra perniagaan dan menentang riba yang diamalkan oleh sistem ekonomi konvensional dunia hari ini. Sistem kewangan Islam ini telah mula diterima oleh masyarakat dunia. Ia juga sebahagian daripada syariah, dan Malaysia sudah menjadi pelopor dunia.

Menjadi kewajipan kepada pakar-pakar ekonomi serta pengamalnya untuk terus berjuang mewujudkan satu sistem alternatif ekonomi yang adil buat dunia. Dan kita mengharapkan agar sistem kewangan Islam menjadi pilihan utama dunia menggantikan sistem kapitalis yang ribawi. Orang bukan Islam boleh memilih apa yang terbaik untuk mereka. Tetapi untuk umat Islam, tiada kompromi melainkan melaksanakan sistem Islam.

Isu makanan halal juga menjadi isu dunia. Syarikat-syarikat besar mula membuka mata bagi menarik pengguna Muslim khususnya. Ini juga isu syariah. Menjadi kewajipan bagi kerajaan menjelaskan konsep serta piawaian halalan toiyyiban dalam industri kepenggunaan dan pemakanan.

Isu nilai-nilai kemanusiaan juga isu syariah. Islam menjaga hak dan nilai-nilai kemanusiaan. Sebab itu Islam mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti isu kebebasan, syura, keadilan dan persaudaraan sejagat. Namun perlu diperjelaskan kepada puak liberalis tentang batas-batas yang digariskan dalam syariah.

Isu wanita juga isu syariah. Islam memartabatkan wanita di tempat yang mulia dan penuh dengan integriti serta menjamin hak-hak wanita dalam masyarakat. Namun perlu diperjelaskan kepada puak liberalis tentang asas-asasnya.

Isu hiburan dan kesenian juga isu syariah. Masyarakat Islam bukan hanya sebagai masyarakat yang beribadat dan mengerjakan amal-amal sunat serta masyarakat yang serius dan sentiasa bekerja, sehingga tidak ada ruang baginya untuk berhibur dan bermain, ketawa dan bergembira, bernyanyi dan bermain muzik. Namun masyarakat Islam tidak menjadikan kehidupan keseluruhannya sebagai hiburan dan permainan yang tiada batasan moralnya.

Isu moral dan integriti juga isu syariah. Islam menolak dengan serius semua jenis kejahatan yang ditolak fitrah yang sejahtera dan akal yang waras. Sementara itu Islam menerima serta memberi dorongan terhadap semua jenis akhlak yang terpuji yang sesuai dengan fitrah dan akal yang sihat yang mana individu dan masyarakat akan dapat hidup bahagia dengan dominasinya.

Malah menjadi lebih utama lagi untuk kita jelaskan kenapa umat Islam mahukan hak mereka sebagai seorang Muslim berdasarkan asas akidah dan keimanan untuk melaksanakan Islam sepenuhnya dengan mengamalkan undang-undang syariah dalam aspek pensyariatan dan perundangan.

Menurut al-Qardawi:

"Syariat adalah manhaj yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t. bagi menyusun kehidupan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Sesebuah masyarakat tidak menjadi masyarakat Islam melainkan dengan melaksanakannya serta merujuk kepadanya dalam seluruh aspek kehidupan sama ada ibadat atau muamalat. Adalah tidak logik jika seseorang Muslim mengambil kewajipan berpuasa daripada al-Quran tetapi menolak kewajipan solat. Kita tidak boleh menggambarkan bagaimana seseorang itu menerima ayat-ayat berkenaan dengan pengharaman riba!"

Begitulah juga halnya dengan pengharaman arak!

Pensyariatan atau perundangan merupakan nilai kekuatan utama bagi sesebuah masyarakat. Ramai liberalis fobia dengan undang-undang jenayah atau hudud dan penghukuman semata-mata sepertimana yang difahami dan digambarkan oleh sebahagian orang, termasuk dalam isu sebatan atas jenayah hudud. Mereka menggangap hukuman sebatan yang dikenakan kepada penzina umpamanya sebagai hukuman yang zalim kerana mereka lebih mementingkan hak individu daripada hak masyarakat.

Liberalis yang mewakili jahiliah hari ini lebih mementingkan perkara-perkara yang berbentuk fizikal berbanding dengan perkara-perkara yang berbentuk logikal. Lantaran itu mereka amat menggeruni kemudaratan yang dikenakan ke atas individu disebabkan ia berlaku di hadapan penglihatan mereka tetapi mereka tidak merasai bahaya yang lebih besar yang bakal menimpa masyarakat dan generasi akan datang.

Pensyariatan hudud perlu difahami dari perspektif yang tepat. Menurut al-Qardawi lagi, kesalahan zina tidak pernah tsabit semasa zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman Khulafa ar-Rasyidun melainkan melalui pengakuan. Selain itu, Islam memberi kesempatan untuk bertaubat. Siapa yang taubatnya sungguh-sungguh maka hukuman hudud tersebut akan gugur menurut pendapat yang terkuat. Gugurnya hukuman hudud tidak bererti gugurnya hukuman keseluruhannya. Sebaliknya ia berpindah kepada hukuman yang bentuk ta'zir yang sesuai seperti yang diputuskan dalam mahkamah.

Syariat sangat menjaga rahsia dan memaafkan hudud kerana Islam tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman dan tidak tergesa-gesa melaksanakannya terhadap mereka yang melanggarinya. Islam tidak mengajar kita memasang perangkap atau meletak kamera rahsia untuk mengambil gambar mereka yang melakukannya. Islam juga tidak menggunakan polis bahagian jenayah atau mata-mata gelap untuk mengintip mereka yang melanggar syarak untuk menangkap mereka ketika melakukannya!

Kita perlu meyakinkan masyarakat Islam bahawa mereka akan hidup harmoni di bawah naungan syariat bermula dengan pemurniaan akidah dan keimanan. Untuk perkara ini berlaku, proses kesedaran serta pendidikan perlu dilipatgandakan agar umat sendiri menuntut hak mereka dan berusaha mendapatkan kuasa pemerintahan agar kembali kepada umat Islam yang ikhlas mahukan syariat dilaksanakan, tidak berterusan di tangan mereka yang liberalis, oportunis dan berkepentingan. Institusi kehakiman syariah juga perlu dipertingkatkan kepakaran dan prasarananya.

Prosesnya sedang bergerak di seluruh dunia Islam. Yang berbeza mungkin strategi rancangan pencapaiannya. Malaysia mempunyai keunikan perlembagaan yang menjadikan Islam bukan sekadar agama rasmi seperti difahami sebahagian orang tetapi "Islam is the religion of the Federation".

Untuk itu peluang untuk menjadikan syariah sebagai rujukan tertinggi umat Islam di Malaysia perlu diperjuangkan bersama oleh kerajaan, para ulama dan pakar undang-undang, pendakwah dan pengamal undang-undang Islam serta sokongan umat Islam yang digerakkan oleh civil society yang dipelopori oleh gerakan Islam.

sumber

0 comments: