Apabila Meletakkan Matlamat..

5/08/2011 04:48:00 AM 0 Comments »

Ada beberapa perkara penting yang perlu diberikan perhatian apabila meletakkan matlamat.

1. Matlamat yang diletakkan mesti sesuatu yang besar, jelas dan boleh dicapai.

Misalnya, tidak cukup dengan hanya berkata mahu pada markah yang tinggi sebalinya perlu dinyatakan dengan jelas berapa tinggi markah yang disasarkan itu. Kalau selama ini kita selalu gagal dalam ujian Matematik maka mengatakan mahu mendapat 100 peratus dalam ujian selepas ini mungkin terlalu besar dan membuatkan diri kita berkata susah atau tidak boleh. Oleh itu, letaklah matlamat yang munasabah misalnya 70 peratus untuk peringkat permulaan. Apabila matlamat ini dicapai barulah sasarkan markah yang lebih tinggi lagi.

2. Matlamat mestilah sesuatu yang bermakna.
Tanya diri sendiri untuk apa kita usahakan semua ini. Kenapa kita mahukannya? Kepada siapa mahu dibuktikan atau dihadiahkan kejayaan itu? Sejauh mana kepuasan yang akan diperoleh jika matlamat itu menjadi kenyataannya sekarang. Selain diri kita siapa lagi yang akan gembira dan berpuas hati? Apakah perkara-perkara baik yang akan terjadi selepas matlamat itu tercapai? Soalan-soalan ini akan memberikan kita dorongan dan kekuatan.

3. Matlamat mestilah diletakkan tempoh masa.
Iaitu bilakah ia mahu dicapai. Tanpa tempoh masa kita akan cenderung kepada sikap bertangguh. Letakkan matlamat untuk setiap ujian atau peperiksaan yang akan ditempuhi sepanjang tahun ini. Matlamat untuk ujian-ujin bulanan, peperiksaan percubaan dan peperiksaan sebenar.

4. Matlamat hendaklah ditulis dan diletakkan di tempat yang nampak setiap hari.

Tampal matlamat di depan meja belajar, dijadikan penanda buku, ditulis atas kad kecil dan dimasukkan ke dalam dompet sebagai ingatan diri sendiri.

5. Matlamat hendaklah disemak dan dikemaskini dari semasa ke masa.

Ini adalah agar ia tetap realistik dan sah. Kita juga perlu melihat bagaimana kemajuan kita dalam mencapai matlamat ini. Adakah setiap hari kita semakin hampir atau sudah jauh tersasar? Dengan menyemak matlamat ia memberikan kita idea tentang apa yang telah dilakukan dan apa pula yang perlu dilakukan lagi.

6. Matlamat boleh dikongsikan dan diceritakan.

Ia boleh dikongsikan dengan mereka yang kita percaya. Lebih-lebih lagi jika mereka itu merupakan individu-individu yang boleh membantu mempercepatkan lagi proses merealisasikan matlamat tersebut.

7. Matlamat hendaklah sentiasa dibaca dan didoakan.
Dengan membaca dan berdoa kita menanam matlamat tersebut jatuh ke dalam minda. Lama-kelamaan kita mula percaya dan kepercayaan itu akan membuatkan kita lebih berusaha.

sumber : Anis bil 165 Mei 2011

0 comments: