NiKmAt vs IsTiDrAj

5/25/2009 11:27:00 AM 0 Comments »
Satu artikel yang telah ku baca menarik perhatianku untuk berkongsi bersama sahabat-sahabat semua.. antara nikmat dan istidraj yang sering kita tidak sedar tentang kewujudannya.. kadang-kadang membuatkan kita terus terleka hidup di dunia sementara ini..

Rumah itu cantik, lamannya besar, diisikan pula dengan banyak bilik. Di anjungnya terdapat beberapa buah kereta. Tiap satunya dilimpahkan duit berjuta untuk dimiliki. Sebut sahaja jenis mana yang mahu dipandu, pasti tersadai di anjung istananya yang gah itu. Pemiliknya mempunyai banyak kilang serta wang yang bila diminta pasti akan diterima setiap masa.

Sesekali is keluar membeli belah, pernah beberapa ekor ikan sahaja dibeli hampir RM10 ribu dihabiskan. Siang malamnya dipenuhi dengan hiburan, arak sudah pasti mejadi tegukan. Pendek kata, hiduplah keluarga ini dengan segala kemewahan. Tidak pernah dek kekurangan makanan, tidak pernah kekurangan pakaian, malah berlebih-lebihan pula. Anak-anaknya tidak pernah diajar kenal tikar sembahyang, tidak pernah diendahkan tentang agamanya. Isterinya dibiarkan sebebas-bebasnya untuk membuka aurat, bergaul dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada sedikit pun rasa cemburu. Hairan, entah di mana letaknya sensitiviti kerana tiada masa untuk memikirkan semua itu melainkan disibukkan dengan perniagaannya yang semakin maju.

Hatinya megah dengan segala kurniaan yang dimiliki. Mengecap dan menggunakan segala kurniaanNya tanpa memikirkan dari siapa dia mendapatinya. Siang dan malam disibukkan dengan mencari rezeki, lupa pula hal ehwal akhirat. Lupa dari mana dia datang, lupa untuk apa dia hidup, lupa untuk memberi sedekah dan membayar zakat. Paling parah, dia lupa akan nikmat sebenar dan natijah hidupnya yang menanti di akhirat kelak.

Yang sedihnya, bila mereka menerima setiap kurniaan tanpa ungkapan syukur pada yang Hak. Yang pedihnya, bila mereka kenyang disaat saudara seagama lein merintih kelaparan. Yang malangnya, mereka merasakan mereka berhak mengecapi semua itu kerana usaha gigih mereka, bukan kerana sifat ARRAHMANNYA. Yang sayangnya, mereka lupa untuk berbagi-bagi pada yang memerlukan. Yang ruginya, kerana mereka telah dihiaskan bahawa dunia ini indah dan hanya mereka yang pandai menikmatinya sahaja yang akan bahagia seolah-olah akhirat itu hanya satu janji yang tidak pasti. Persoalannya, bahagiakah mereka..??? Tenangkah hati mereka..???

Terkadang ada orang bertanya mengapa orang yang baik, betul jalannya, lurus hatinya, dicuba dan diuji dengan Allah. Diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Sudahlah susah, diuji dengan kesakitan dan kesempitan. Orang yang kaya raya tidak ingat Allah bahkan zalim diberi kesenangan, diselimuti dengan kebahagiaan walaupun semakin bertambah-tambah dosanya. Lalu ditanya kepada orang-orang yang lebih alim dan wara' : "Di manakah letaknya keadilan Allah, wahai tuan yang bijaksana?."

Sesungguhnya, pandangan manusia memerhatikan yang cantik itu baik, yang kaya itu bahagia, yang sihat itu senang tanpa ketahui apa nilaian dari sudut pandangan Ilahi. Tidak ramai yang tahu bahawa berapa ramai orang yang zalim, hatinya berkeluh kesah memikirkan tentang musuhnya yang bertambah. Berapa ramai pula orang yang cantik diburu orang serta dipergunakan untuk pelbagai kepentingan, lalu setelah diperolehi kecantikan dan laba darinya, madu itu hilang dan sepahnya dibuang. Sia-sia dan hanya digunakan untuk mengaut keuntungan. Alangkah sedihnya..!!!

Wahai diri yang sering lupa, mungkin terkadang hatimu memikirkan kesusahan. Kala itu lidah tidak putus-putus berdoa, berharap agar segala kesusahan itu dileraikan dengan sifatNya yang Maha Bijaksana. Mencari kekuatan agar hati tetap di jalan-Nya. Agar langkah tidak tersasar dari redhaNya.

Saat itu, jalan terus kehadapan serta selalu bersangka baik. Namun, manalah tahu ada ketikanya berburuk sangka juga pada Allah. Memikirkan Allah tidak mungkin ingin memandang diri, tidak mahu mengabulkan doa diri. Rasa ditolak Allah kerana sering tidak bernasib baik di dalam hidup. Tapi ingatlah wahai diri, orang yang beriman semakin kuat imannya, makin beratlah ujian yang harus ditanggung. Sedarlah diri, bahawa setiap jiwa yang beriman tidak mungkin akan berputus asa dari rahmatNya. Siapalah kita untuk mempertikaikan ketentuanNya??? Layakkah kita untuk mencampuri urusan kerajaanNya???

Firman Allah swt dalam Kitab AgungNya sepanjang zaman bermaksud :

"Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan kami telah berikan sedangkan mereka tidak akan diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." (al Ankabut:2-3)

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar." (al Baqarah:155)

Sesungguhnya nikmat itu wahai diri, yang tenang dan bahagia biarpun dalam kesempitan. Yang nafasnya tidak sesak dan buta dengan kelapangan dunia. Bila diri dilimpahkan kemewahan, nafsunya tidak tamak dan alpa. Kerana bukan nafsu yang memandu akalnya, tetapi akal yang memandu jalan dan hatinya. Betapa nikmatnya ujian ini..!!!

Tentang diri orang yang zalim yang mengumpulkan dosa, jangan risau keadaannya. Walaupun disebalik kezaliman hidupnya nampak tenang dan aman. Mungkin itulah yang dinamakan istidraj dan bukannya nikmat seperti yang disangkakan. Bukanlah mereka itu selama-lamanya diberi kesenangan yang menipu itu, bahkan ia diberi tangguh supaya dosanya semakin bertambah-tambah.

Wahai diri...Mudah mudahan engkau tidak akan termasuk di dalam golongan ini. Kerana aku pasti, diri juga pasti tidak ingin dicampakkan ke dalam gaung istidraj. Benarlah, Allah hanya memberikan ujian dan dugaan kepada hambaNya yang mampu sahaja. Dan disebalik nikmat dan ujian itu, tersimpan seribu satu rahmat yang tidak pernah terlintas di fikiran kita.

Kisah Firaun dan Hamman perlu dijadikan ikhtibar, lihatlah apa yang disebutkan Allah yang bermaksud:

"Dan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) secara yang tidak mereka sedari. Dan Aku memberi tangguh kepada mereka. Sesungguhnya rencanaKu amat teguh." (al A'raf:182-183)

"Mata tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka akan terdiam berputus asa. Maka orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam." (al An'am:44-45)

menjadi muhasabah diri ku ini yang sering alpa.. semoga kita saling ingat mengingati antara satu sama lain.. insyaAllah..
wallahu a'alam..

.:: permatahati ayahandabonda ::.

0 comments: